Kepala Batas: Kegembiraan sekumpulan remaja menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri rakan mereka berakhir dengan kejadian menyayat hati apabila seorang daripada mereka lemas di Sungai Muda, Kampung Kota Aur, di sini, kelmarin.
Sebelum kejadian jam 5.15 petang, Muhammad Firdee Akasha Ruslan, 14, dari Taman Seri Bayu, Sungai Petani, Kedah bersama enam rakannya ke majlis rumah terbuka rakan mereka, Danial Fikri Mohd Tarmizi, 15, di Kota Aur.
Bagaimanapun, difahamkan, sebelum pulang, Muhammad Firdee Akasha yang juga pelajar tingkatan dua Sekolah Agama Gurun dikatakan ke tepi sungai bersama rakannya dan ternampak beberapa remaja tempatan mandi berhampiran jeti nelayan Kota Aur.
Berikutan itu, mangsa dikatakan turut serta dengan terjun ke sungai untuk mandi sebelum naik ke jeti.
Bagaimanapun, selepas terjun kali kedua, mangsa dikatakan lemas dan cuba dibantu remaja lain yang melihat kejadian namun gagal diselamatkan.
Bapa mangsa, Ruslan Ayob, 48, berkata, arwah menghubunginya Khamis lalu untuk memaklumkan dia tidak dapat pulang kerana mahu menghadiri rumah terbuka rakan di Tikam Batu, Kedah.
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat mangsa yang lemas di Sungai Muda dekat Kota Aur, Kepala Batas, petang kelmarin.
“Arwah tinggal di asrama sekolah dan sepatutnya pulang ke rumah minggu ini tetapi tidak berbuat demikian.
“Dia beritahu mahu ke rumah rakan yang mengadakan majlis rumah terbuka. Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapat tahu dia lemas di Sungai Muda,” katanya di Hospital Kepala Batas (HKB).
Ruslan berkata, arwah anak ketiga daripada lima beradik. Dia jarang keluar rumah, malah tidak berani menunggang motosikal tanpa kebenaran.
“Arwah bukan jenis gemar merayau dan hanya keluar jika ada urusan. Namun Khamis lalu, dia mengikut rakan dari asrama sekolah kerana tidak pulang ke rumah terlebih dulu,” katanya.
Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Prai Yuhannas Faizal Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.30 petang dan operasi mencari dan menyelamat turut dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda.
0 Komentar untuk "Tragedi LEMAS Mandi Sungai"